Jabatan Perhutanan Negeri Kedah
Link ke Webmail  
Muat Turun
Warga Perhutanan Mesti Tahu!
MS ISO
MS ISO
 

Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) merupakan agensi teknikal yang berperanan dalam mentadbir, mengurus dan membangunkan sumber hutan di Negeri Kedah. Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini, JPNK adalah komited untuk memenuhi keperluan standard MS ISO 9001:2000 dalam Perkhidmatan Awam Malaysia dan selari dengan matlamat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia . Selaras dengan komitmen ini proses utama yang terlibat ialah “Pengurusan Pengeluaran Kayu secara Berkekalan bagi Hutan Darat Asli di Hutan Simpanan Kekal”.

 

Pengurusan Pengeluaran Kayu secara Berkekalan bagi Hutan Darat Asli di Hutan Simpanan Kekal adalah berasaskan kepada system pengurusan hutan yang diamalkan iaitu Sistem Pengurusan Memilih (SMS).

 

 

 

Perkhidmatan yang Diberi dan Pelanggan

 

Perkhidmatan utama JPNK ialah melaksanakan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan Pengurusan Pengeluaran Kayu secara Berkekalan bagi Hutan Darat Asli di Hutan Simpanan Kekal supaya menepati keperluan MS ISO 9001:2000.

 

Pelanggan utama bagi perkhidmatan ini ialah Kerajaan Negeri Kedah.

 

Pemegang lesen/kontraktor pembalakan dan kontraktor pembangunan hutan yang terlibat dalam proses Pengurusan Pengeluaran Kayu secara Berkekalan bagi Hutan Darat Asli di Hutan Simpanan Kekal adalah merupakan pembekal kepada JPNK.

 

 

Pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti

 

a.         Aktiviti Proses Utama

           

            Terdapat tujuh (7) aktiviti dalam proses utama Sistem Pengurusan Kualiti JPNK yang perlu dilaksanakan mengikut turutan seperti berikut :

 

i.                    Penetapan dan Pemantauan Catuan Tebangan Tahunan

Keluasan kawasan yang diusahasil di dalam HSK adalah berdasarkan kepada Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang ditetapkan. Catuan Tebangan Tahunan ditetapkan bagi suatu tempoh Rancangan Malaysia yang tertentu. Penetapan dan pemantauan CTT adalah bertujuan untuk mengimbangi kadar pengusahasilan dengan keluasan hutan pengeluaran dalam HSK bersesuaian dengan tempoh pusingan tebangan.

 

ii.                  Penandaan dan Pengesahan Sempadan Kawasan Kerja

Kawasan-kawasan hutan di dalam HSK yang akan diusahasil perlu ditanda dan disahkan sempadannya di lapangan. Aktiviti ini dilaksankan oleh Jabatan. Sijil Penandaan dan Pengesahan Sempadan dikeluarkan bagi menunjukkan bahawa sempadan kawasan kerja di lapangan telah ditanda dan disahkan untuk pelaksanaan aktiviti-aktiviti susulan.

 

iii.                Inventori Hutan Sebelum Tebangan (Pre-F) dan Penentuan Had Batas Tebangan

Inventori Hutan Sebelum Tebangan(Pre-F) dilaksanakan bertujuan untuk mengetahui kedudukan stok, kandungan, keadaan dan taburan semua pokok besar, kayu jaras, anak pokok dan anak benih supaya diketahui gambaran isi hutan yang sebenar. Maklumat daripada Inventori Hutan Sebelum Tebangan (Pre-F) akan digunakan untuk menetapkan had batas tebangan yang optimum. Aktiviti ini dijalankan secara Jabatan atau secara kontrak.

 

iv.                Penandaan pokok

Penandaan pokok dilaksanakan bertujuan untuk menetapkan pokok-pokok yang akan ditebang iaitu Pokok Tebangan, Pokok Jalan, Pokok Matau dan Pokok Kongsi serta pokok-pokok yang dikekalkan untuk tujuan pemeliharaan iaitu Pokok Ibu dan Pokok Perlindungan. Penandaan pokok untuk tebangan melibatkan penentuan arah tebangan supaya dapat mengurangkan kerosakan pada dirian tinggal. Aktiviti ini dijalankan secara Jabatan atau secara kontrak.

 

v.                  Pengusahasilan Hutan

Pengusahasilan Hutan melibatkan aktiviti-aktiviti pengeluaran dokumen, pemantauan dan pengawalan serta penyediaan laporan penutup. Semua dokumen pengusahasilan hutan disediakan oleh jabatan kecuali Rancangan Mengusaha Hasil Hutan yang disediakan oleh pemegang lesen. Aktiviti pemantauan dan pengawalan serta penyediaan laporan penutup dilaksanakan sepenuhnya oleh kakitangan Jabatan.

 

vi.                Inventori Hutan Selepas Tebangan (Post-F) dan Penentuan Jenis Rawatan Silvikultur

Inventori Hutan Selepas Tebangan (Post-F) dilaksanakan bertujuan untuk mengumpul maklumat mengenai kedudukan stok, kandungan, keadaan dan taburan semua pokok besar, kayu jaras, anak pokok dan anak benih supaya dapat diketahui gambaran isi hutan yang sebenar selepas tebangan serta maklumat mengenai kewujudan pepanjat, bertam dan tumbuhan-tumbuhan lain. Maklumat daripada inventori ini digunakan dalam menentukan keperluan Rawatan Silvikultur. Aktiviti ini dijalankan secara Jabatan atau secara kontrak.

 

vii.              Rawatan Silvikultur

Rawatan Silvikultur dilaksanakan untuk membantu pemulihan kawasan hutan selepas pengusahasilan. Aktiviti ini dijalankan secara Jabatan atau secara kontrak serta melibatkan satu atau lebih daripada jenis-jenis rawatan silvikultur berikut :

 

-         Memotong Akar Pepanjat (CL)

-         Tanaman Mengaya

 

 

Dasar Kualiti

 

Dasar Kualiti JPNK

 

Jabatan Perhutanan Negeri Kedah adalah komited untuk memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan dalam Pengurusan Pengeluaran Kayu Secara Berkekalan bagi Hutan Darat Asli di Hutan Simpanan Kekal supaya dapat dilaksanakan mengikut tempoh masa, kaedah dan peraturan-peraturan untuk memnuhi kehendak pelanggan.

 

Jabatan Perhutanan Negeri Kedah percaya perkara ini dapat dicapai melalui penerapan budaya kerja yang memenuhi keperluan MS ISO 9001:2000 pada semua peringkat kakitangan dalam pelaksanaan system pengurusan kualiti yang berkesan dengan komitmen yang tinggi dari pengurusan atasan hingga ke peringkat bawahan.

 

Jabatan Perhutanan Negeri Kedah akan  mengenalpasti dari semasa ke semasa kelemahan-kelemahan dalam organisasi dan mengambil langkah-langkah penambahbaikan dengan penglibatan semua tenaga kerja untuk menambahbaik secara berterusan Sistem Pengurusan Kualiti JPNK

 

Semua ketua unit akan memantau dan mengkaji prestasi sebenar pelaksanaan objektif-objektif kualiti yang telah ditetapkan di bawah bidang tugas serta tanggungjawab masing-masing dan mengambil tindakan segera apabila prestasi pelaksanaan tidak mencapai objektif-objektif yang telah ditetapkan.

 

Dasar kualiti dihebahkan untuk difahami oleh semua anggota organisasi.   

 

Objektif Kualiti

 

i.                    Memastikan pembukaan kawasan untuk pengsahasilan hutan tidak melebihi CTT yang ditetapkan.

ii.                  Memastikan aktiviti Penandaan dan Pengesahan Sempadan Kawasan Kerja, Inventori Hutan Sebelum Tebangan (Pre-F), Penandaan Pokok, Inventori Hutan Selepas Tebangan (Post-F) dan Rawatan Silvikultur dilaksanakan sekurnag-kurangnya 90% daripada matlamat fizikal tahunan yang telah ditetapkan.

iii.                Memastikan proses pelaksanaan aktiviti Inventori Hutan Sebelum Tebangan (Pre-F), Penandaan Pokok, Inventori Hutan Selepas Tebangan (Post-F) dan Rawatan Silvikultur mencapai tahap piawaian tidak kurang daripada 90%.

iv.                Memastikan Lesen Mengeluarkan Hasil Hutan dikeluarkan dalam tempoh tidak melebihi enam (6) bulan dri tarikh kelulusan diberi, setelah semua syarat kelulusan dipenuhi.

v.                  Memastikan Laporan Penutup Pengusahasilan Hutan disediakan dalam tempoh enam(6) bulan dari tarikh tamat tempoh lesen atau tarikh permohonan penutupan lesen daripada pemegang lesen, mengikut mana yang terdahulu.

vi.                Memastikan 90% daripada latihan/kursus dalam perancangan tahunan Jabatan Perhutanan Negeri yang berkaitan dengan Sistem Pengurusan Kualiti JPSM dilaksanakan.

vii.              Semua aduan pelanggan akan dijawab dalam masa satu (1) minggu dari tarikh aduan diterima.

   

DASAR KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN JABATAN PERHUTANAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN

 

Jabatan Perhutanan Negeri Kedah akan memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan pegawai dan semua kakitangan yang bertugas di Jabatan ini.

Ke arah memenuhi kehendak dasar ini, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah berusaha menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat serta mengadakan latihan yang berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan supaya semua kakitangan boleh menjalankan tugas mereka dengan selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan.

Di samping itu, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah akan mengambil tindakan untuk menjalinkan kerjasama yang erat di antara pihak pengurusan dengan pekerja dalam mengubal, melaksana, memantau, menilai semula dan membaiki persekitaran kerja termasuk waktu di luar masa bekerja. Aktiviti dan persekitaran kerja akan di kaji dari masa ke semasa bagi mempastikan pembaikan berterusan.

Dengan ini, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah berazam untuk mengamalkan budaya kerja yang selamat dan sihat.

 

PENGARAH PERHUTANAN NEGERI KEDAH

 
© Hak Cipta Terpelihara. Jabatan Perhutanan Negeri Kedah 2007