Hari Ini

Pilih Tema

Pilih saiz

A- A A+

Pilih Bahasa

Perutusan Pengarah Perhutanan Negeri Kedah Tahun 2020

 

 

                                                       PengarahRoslan

 

Assalamualaikum warahamatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Alhamdullilah syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat menyaksikan tertutupnya tirai tahun 2019 dan  menyinsingnya fajar baru tahun 2020. Masih tidak kelewatan untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2020 kepada seluruh warga Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) dengan harapan dan doa agar tahun 2020 adalah tahun yang lebih baik daripada tahun 2019 serta berharap seluruh warga JPNK menambah semangat yang luar biasa untuk terus berbakti bagi mencapai kejayaan dalam pelbagai sektor.Berkesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga JPNK yang telah memberi sokongan padu, komitmen yang tinggi dan kerjasama kepada pentadbiran JPNK dalam mencapai serta menjayakan setiap agenda dan perancangan sepanjang tahun 2019.

Tahun 2020 merupakan tahun terakhir pelaksanaan Malaysia ke sebelas (RMKe-11). Oleh itu, saya menyeru kepada semua warga JPNK untuk mengorak langkah lebih awal untuk melaksanakan segala perancangan yang tertangguh atau tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh empat (4) tahun sebelum ini dapat dicapai bagi memastikan segala hasrat jabatan dan kerajaan negeri memperoleh output serta outcome yang positif.Sesungguhnya tahun 2019 telah menyaksi pelbagai kejayaan telah  dicapai di peringkat Jabatan Perhutanan Negeri Kedah.

Saya bersyukur kerana warga JPNK bukan sahaja dapat menghadapi dan mengatasi pelbagai cabaran sepanjang tahun 2019 malah telah menunjukkan pencapaian prestasi perkhidmatan yang membanggakan walaupun terdapat banyak cabaran dan kekangan yang perlu ditempuhi. Saya percaya kejayaan ini tidak akan terhasil  tanpa kerjasama dan sokongan padu daripada semua warga JPNK.Sumber hutan merupakan aset semulajadi yang terpenting dalam menjamin kestabilan ekosistem dan kesejahteraan alam sekitar serta penyumbang kepada sosial ekonomi Negeri Kedah.

Sehubungan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah akan terus mempergiatkan usaha penghijauan negeri Kedah melalui pelbagai projek restorasi, perhutanan sosial dan penghutanan semula. Tahun 2020 juga, JPNK akan memperkenalkan beberapa produk baru yang akan menyumbang kepada pendapatan ekonomi negeri.

Penjanaan hasil hutan bukan sahaja melalui aktiviti pembalakan sahaja, malah melalui eko pelancongan juga menyumbang kepada pendapatan negeri selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperkenalkan pelbagai produk pelancongan daripada kawasan hutan simpanan kekal.Tahun 2020 ke arah teknologi yang lebih canggih dengan pelbagai kemudahan dan teknologi terkini, maka seluruh warga JPNK perlu selari dalam memperkasakan ilmu teknologi ini dengan bidang tugasan yang dilaksanakan. Pelaksanaan tugasan yang dahulunya secara manual, dengan kemudahan teknologi terkini kita semua perlu mengambil peluang untuk memajukan jabatan dengan perkhidmatan sedia ada menggunakan teknologi terkini untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan mesra rakyat.

Sejajar dengan hala tuju Kerajaan Negeri dalam proses merangka pembangunan rangka panjang 15 tahun Negeri Kedah bagi tahun 2021 sehingga tahun 2035, di mana objektifnya adalah bagi mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi, menyediakan keperluan rakyat secara inklusif dengan memperkasakan infrastuktur, utiliti dan kemudahan asas bagi menjamin kehidupan yang sempurna, saya yakin serta percaya akan kebolehan dan kepakaran warga kerja JPNK yang secara tidak langsung akan turut sama terlibat dalam mencapai objektif tersebut Seperti yang telah diceritakan usaha secara komited juga diletakkan pada tahap jihad ke jalan Allah sepertimana Kaab bin Ajrah meriwayatkan, Maka Baginda bersabda. "Jika dia keluar bekerja untuk keperluan anaknya, maka dia keluar di jalan Allah. Jika dia keluar bekerja untuk ibu bapanya yang sudah lanjut usia, maka dia di jalan Allah, jika ia bekerja untuk menyucikan dirinya, maka dia keluar di jalan Allah.

Tetapi jika dia bersusaha kerana riak dan untuk bangga diri, dia berada di jalan syaitan." (Hadis riwayat Tabarani Adalah diharapkan tahun 2020, dalam memastikan keberkesanan dan keberhasilan dalam penyampaian perkhidmatan, JPNK akan sentiasa berintegriti, berdisplin, berkerjasama dan bersatu hati melangkah sederap dengan semangat berpasukan yang tinggi serta meningkatkan produktiviti dan daya usaha agar perkhidmatan yang disampaikan diyakini serta menepati kehendak dan ekspetasi rakyat.Selain itu, semua warga JPNK tidak perlu merasa terbeban dengan tugas hakiki yang diamanahkan, sebaliknya mengambil pendekatan positif dengan menggalas tugas dan amanah yang telah diberikan di samping menggabungkan nilai integriti serta keutuhan peribadi yang tinggi agar tugas yang diberikan dapat dilaksanakan dengan jujur dan telus. Marilah kita bermuhasabah, baiki segala kesilapan yang lalu serta jadikan ia sempadan.

Ambillah kejayaan itu sebagai panduan menghadapi tahun 2020 dan melestarikan kejayaan itu sebagai panduan masa akan datang. Semoga perancangan dan usaha kita akan diberkati Allah.Tiada jalan mudah, semua cabaran ini harus dihadapi dengan dada yang lapang dan minda yang terbuka. Oleh itu kita harus mendahulukan Misi, Visi, Objektif jabatan, berbanding kepentingan peribadi.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan katakanlah: Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang mukim akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang Maha Mengetahui yang ghaib dan nyata, lalu diberitakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan."

(Taubah, ayat 105)

Jadilah kita golongan Muflihuun ( ٱلۡمُفۡلِحُونَ ) iaitu orang-orang yang benar-benar berjaya di sisiNYA.Saya juga mendoakan seluruh warga JPNK diberi kesihatan yang baik untuk sama-sama kita menempoh tugasan yang di amanahkan sepanjang tahun 2020 dan dapat menjalankan tuntutan agama serta kehidupan diberkati.

Selamat Tahun Baru 2020

Wabillahit tawfiq wal hidayah wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Sekian, terima kasih

Saign

(HAJI ROSLAN BIN RANI)